Pada kali ini saya ingin berkongsikan kepada anda tips website cepat loading. Tips ini saya kongsikan kepada anda yang dihantar oleh salah satu syarikat penyedia hosting.

Hari ini saya nak tanya satu soalan. Jika anda ke pejabat pos untuk sesuatu urusan, berapa lamakah anda sanggup tunggu sehingga tiba giliran anda? Jika anda memesan makanan di kedai makan, berapa lamakah anda akan tunggu sehingga makanan yang anda pesan sampai ke meja anda?.. setiap orang pastinya mempunyai jawapan yang berlainan, ada yang sanggup tunggu sehinga 1 jam, ada yang 30 minit, 15 minit, 5 minit, dan ada juga yang tidak sanggup menunggu walaupun 1 minit, semuanya bergantung kepada tahap kesabaran sesorang serta situasi pada masa itu. Manalah tahukan masa tu tengah sakit perut ke, mana boleh tunggu lama-lama. Betul tak?

Walau apa pun, tahukah anda? Berapa lamakah seseorang pelawat sanggup tunggu untuk membuka sesuatu website? Biar saya berikan jawapannya, mengikut kajian yang dilakukan, secara puratanya, seseorang pelawat, sanggup menunggu untuk sesuatu laman web yang dilayarinya untuk dibuka hanyalah selama….. 15 saat. Ya!, hanya 15 saat sebelum mereka menutup pelayar laman web atau klik untuk pergi ke halaman web yang lain.

Jadi, bagaimana dengan website anda? Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk seseorang membuka website anda? Sudah pastinya anda tidak mahu kehilangan pelawat semata-mata disebabkan halaman web anda mengambil masa yang terlalu lama untuk dibuka. Jesteru itu, pada kali ini, saya akan memberikan anda beberapa tips, bagaimana anda boleh membuatkan halaman web anda dibuka dengan pantas.

Sebelum itu, untuk mengetahui serta mengukur masa yang diperlukan untuk seseorang membuka website anda. Anda bolehlah menggunakan satu tool secara percuma yang disediakan di website http://tools.pingdom.com/fpt/

Baiklah, berikut adalah tips-tips bagaimana menjadikan website anda lebih mudah dibuka oleh pelawat.

Tips #1: Optimumkan penggunaan gambar.

Seringkali kita mendengar orang berkata, “Jika anda mahu halaman web anda dibuka dengan cepat, kurangkan penggunaan gambar!.” Kenyataan ini sebenarnya kurang tepat, pernyataan yang lebih tepat sebenarnya adalah “OPTIMUN” bukannya “KURANGKAN”… Optimun yang saya maksudkan disini ialah…

Kecilkan saiz gambar anda. Ramai orang yang sengaja “buat-buat” pelik, mereka mengatakan website mereka hanya menggunakan satu gambar sahaja, tetapi mengapa website mereka masih lambat untuk dibuka? Apabila dilihat, memang benar mereka menggunakan satu gambar sahaja, tetapi gambar tersebut sungguh besar sekali sehingga memenuhi keseluruhan website mereka. Dan kebiasaannya, gambar yang besar ini adalah gambar yang digunakan sebagai latar belakang website mereka.

Elakkan gambar animasi. Gambar-gambar animasi seperti katak melompat, Rama-rama terbang ke kiri dan ke kanan seelok-eloknya dielakkan, ini kerana gambar tersebut hanya menjadikan website anda lebih sukar dibuka dan menjengkelkan. Penggunaan gambar tersebut mungkin anda boleh pertimbangkan jika website anda adalah khusus untuk mengajar teknik-teknik melompat seekor katak kepada pelajar-pelajar sekolah tadika.

Gunakan format gambar yang sesuai. Secara umumnya, format gambar yang paling popular digunakan di dalam sesuatu website adalah format jpeg dan juga gif. Tetapi, ramai yang keliru, format manakah yang lebih kecil di antara dua format tersebut. Kadangkala dilihat format gif lebih kecil saiznya berbanding jpeg, tetapi kadangkala adalah sebaliknya. Sebenarnya, format gif, adalah lebih sesuai untuk gambar-gambar yang berukuran kecil seperti gambar butang atau ikon. Manakala format jpeg adalah lebih sesuai untuk gambar-gambar “real photo” seperti gambar pemandangan, gambar orang menunjukkan tanda bagus ataupun gambar awek jiran sebelah sepupu ibu saudara anda yang sedang menjual kuih di pasar ramadhan.

Gunakan fail gambar yang sama. Diulangi, “FAIL GAMBAR” yang sama, bukannya “GAMBAR” yang sama. Anda mungkin boleh menggunakan fail gambar yang sama berulang-ulang, gambar seperti butang dan ikon diwebsite anda mungkin boleh menggunakan fail gambar yang sama. Ini kerana, komputer pelawat hanya perlu memuatturun satu fail gambar sahaja bagi melihat beberapa gambar yang sama di website anda jika anda menggunakan fail gambar yang sama. Tetapi jika sebaliknya, website anda akan menjadi lambat kerana komputer pelawat terpaksa memuatturun kesemua fail gambar yang digunakan didalam website anda walaupun sebenarnya beberapa gambar yang digunakan diwebsite anda adalah gambar yang sama.

Tips #2 : Elakkan lagu.

Sesuatu yang anda perlu sedari, “sedap” atau “enak” adalah sesuatu yang subjektif. Oleh itu, lagu yang anda rasakan “sedap” pada telinga anda, belum tentunya “sedap” di telinga orang lain. Oleh itu, elakkan penggunaan lagu latar belakang di website anda, selain ia boleh menjadikan laman web anda lambat dibuka, ia juga boleh menyebabkan website anda ditutup dengan serta merta oleh pelawat kerana terkejut dengan lagu yang men”ngejut”kan yang terdapat di website anda.

Tips #3 : Elakkan penggunaan bingkai “frame”

Penggunaan bingkai juga boleh menyebabkan sesuatu website lambat untuk dibuka. Ini kerana, apabila anda menggunakan bingkai, pelawat bukan membuka satu page sahaja apabila melayari website anda, tetapi tiga atau lebih mukasurat dalam masa yang serentak. Ini kerana, bingkai sebelah kanan akan menggunakan satu muka surat , bingkai sebelah kiri pula satu lagi mukasurat dan satu lagi mukasurat bagi keseluruhan bingkai tersebut. Oleh itu, elakkan penggunaan bingkai seboleh mungkin.

Tips #4 :CSS

Satu lagi cara yang boleh menjadikan website anda dibuka dengan cepat adalah dengan menggunakan CSS (Cascading Style Sheet). CSS ini adalah merupakan satu bahasa pengaturcaraan web kategori “client side scripting”. Oh!… saya dah nampak anda sudah mula berkerut dahi. Tidak Mengapa. Saya pun tidak berniat untuk bercerita panjang mengenai CSS ini, kalau nak cerita juga, saya memerlukan satu topik lain yang khas mengenainya, mungkin di waktu yang lain. Sebenarnya, saya hanya ingin memaklumkan kepada anda, bahawa ada satu teknik berkesan yang boleh mempercepatkan proses membuka laman web anda yang dipanggil CSS. Mungkin anda boleh mencari lebih lanjut mengenainya di internet.

Baiklah, nampaknya itulah serba sedikit tips-tips yang boleh saya kongsikan dengan anda pada kali ini.

Credit to: SempoiHosting

1,007 total views, 2 views today